Sunday 20 November 2011

Pertumbuhan Bandar


Pengenalan

Pertumbuhan merujuk kepada pertambahan kepada suatu kuantiti dalam suatu jangkamasa. Kuantiti itu boleh berbentuk fizikal atau abstrak (sistem menjadi lebih kompleks). Pembangunan merujuk kepada perkembangan, pembesaran  dan pembaikan seiring dengan pertumbuhan.

Pertumbuhan ekonomi ialah peningkatan pada nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesuatu ekonomi  dan diukur melalui kadar peningkatan kadar pengeluaran dalam negara kasar. Pembangunan ekonomi pula ialah pembangunan kekayaan Negara untuk kesejahteraan rakyat. Ia boleh dianggap sebagai usaha untuk memperbaiki kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dengan menjana pekerjaan dsbnya. 

Pertumbuhan Bandar

Pertumbuhan bandar boleh ditakrifkan sebagai perubahan dalam corak kegunaan tanah bandar  daripada kegunaan kurang intensif kepada kegunaan lebih intensif.  Ia juga boleh dirujuk sebagai proses pertumbuhan dan kemerosotan ekonomi penumpuan (economic agglomerations). Pertumbuhan dan kemerosotan bandar adalah berkait kepada proses pembandaran. Pertumbuhan ekonomi akan berlaku jika bandar dan jumlah bandar-bandar tumbuh dan bertambah, kerana pertumbuhan ekonomi adalah hasil daripada pertumbuhan saiz dan jumlah bandar-bandar. Indikator pertumbuhan termasuklah lebih ramai penduduk, lebih banyak bangunan, lebih banyak tanah, lebih banyak jalanraya, lebih banyak perkhidmatan awam, dan lebih banyak industri. Namun ini bukan pengukur yang absolut.

Pertumbuhan bandar yang pesat menjana pertumbuhan ekonomi

Faktor-Faktor Pertumbuhan Bandar

Terdapat pendapat menyatakan pertumbuhan bandar adalah hasil daripada interaksi dinamik yang kompleks antara kawalan dan keperluan perancangan, tanah yang boleh dibangunkan dan aktiviti dan faktor-faktor stimulan. Ia melibatkan polisi, aktor, perlakuan, proses dan corak. Polisi adalah yang paling berpengaruh di peringkat makro. Aktor adalah agen-agen perilaku. Perlakuan adalah tindakan oleh aktor-aktor berkenaan. Proses menunjukan dinamik di dalam pertumbuhan bandar. Sementara corak adalah hasil yang dapat diperhatikan.

Terdapat juga pelbagai lagi faktor yang berinteraksi dalam membawa kepada pertumbuhan bandar. Faktor-faktor ini adalah;

  • Peluang-peluang ekonomi
  • Pertumbuhan industri
  • Pertumbuhan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan
  • Pertumbuhan penduduk
  • Perkembangan teknologi, dan
  • Dasar awam 
Contoh aktiviti akibat dari pertumbuhan bandar yang boleh menjana ekonomi

Kadar pertumbuhan bandar tidak seimbang antara bandar-bandar. Pertumbuhan sesebuah bandar bergantung kepada kelebihan relatif bandar berkenaan berbanding bandar-bandar lain. Sesebuah bandar yang telah bertapak (established) tentunya mempunyai kelebihan relatif berbanding bandar lain dengan terdapatnya kemudahan-kemudahan yang telah sedia ada.

Kesan Pertumbuhan Bandar

Pertumbuhan bandar akan memberi pelbagai kesan kepada bandar, antaranya ialah;

  • megubah corak guna tanah dan nilai tanah di dalam bandar
  • mengubah intensiti kegunaan tanah
  • membawa lebih banyak aktiviti dan penduduk ke dalam bandar
  • membawa kepada penyusunan semula guna tanah bandar
  • membawa kepada penyusunan semula struktur bandar dan pembesaran bandar.
  • meningkatkan peluang pekerjaan
  • pembaikan rangkaian pengangkutan
  • pembaikan perkhidmatan dan kemudahan
Contoh aktiviti guna tanah di Kuala Lumpur