Friday 23 December 2011

Idea-Idea ke Arah Perancangan Pinggir Bandar Lestari (Smart Suburbanization) di Malaysia

AKTIVITI PERTANIAN DI KAWASAN PINGGIR BANDAR



Dalam merangka idea-idea kearah perancangan kawasan pinggir bandar yang lestari dalam aspek aktiviti pertanian, perkara yang paling penting ialah janaan ekonomi di kawasan tersebut. Dari sudut ekonomi, pelbagai cabang yang boleh membawa kepada pembangunan kawasan pinggir bandar yang terancang. Antara idea tersebut ialah penyertaan dari pelabur atau pemodal luar yang datang melabur dan menanam modal sekaligus mengembangkan aktiviti pertanian di kawasan pinggir bandar. Industri asas tani juga dapat menyumbang kepada kemasukan tenaga buruh mahir yang telah dilatih dan diberi latihan oleh anak-anak syarikat tersebut. Seterusnya dapat memudahkan lagi kerja yang dilakukan oleh para petani dengan pelbagai jentera moden telah dibawa masuk dan diperkenalkan kepada penduduk pinggir bandar.Projek-projek besar yang melibatkan pertanian sepatutnya dijalankan di kawasan pinggir bandar untuk merancakkan lagi sektor tersebut dalam skop ekonomi agar pembangunan di kawasan pinggir bandar dapat dimajukan.



Selain itu, aktiviti pemasaran yang rancak dalam sektor pertanian dengan kerjasama pihak kerajaan dan swasta juga dapat merancakkan pembangunan di kawasan pinggir bandar. Sebagai contoh, perlaksanaan Projek Agribazaar, pemasaran melalui Program Pembangunan Agrobazaar Kedai Rakyat, dan kerancakan Program Pasar Tani di kawasan pinggir bandar membantu dalam penyediaan kemudahan, aksessibiliti dan pelbagai fasiliti di kawasan pinggir bandar. Hal ini disebabkan melalui projek dan program-program berkenaan, pihak yang terlibat terpaksa menyediakan kemudahan yang sesuai dengan projek berkenaan dan bagi memudahkan masyarakat umum terlibat secara tidak langsung dalam sektor pertanian. Sebagai contoh, perlaksanaan Projek Agribazaar memerlukan kemudahan internet untuk mempromosikan produk-produk pertanian di kawasan pinggir bandar dan juga untuk memudahkan urusan jual beli produk pertanian secara online. Manakala, bagi Program Pembangunan Agrobazaar Kedai Rakyat dan Program Pasar Tani , kemajuan ketara dapat dilihat melalui pembinaan dan pembaikan jalan raya di kawasan pinggir bandar. Tambahan pula, projek-projek tersebut juga memudahkan orang ramai untuk medapatkan bekalan harian dan barangan dapur yang secukupnya seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ulam-ulaman, kelapa, ayam, daging, beras, gula, tepung gandum, minyak masak, rempah ratus dan sardin. Perkara tersebut juga dapat menggalakkan proses migrasi ke kawasan sekitar dan seterusnya “berkembang-biak” menjadi kawasan yang membangun.  Selain itu, peluang pekerjaan dapat disediakan kepada penduduk di pinggir bandar dengan pendapatan yang lumayan dalam sektor pertanian.


Manakala, dari aspek ekonomi yang lebih luas lagi, sektor pertanian mampu menarik minat para pelabur dari luar untuk bekerjasama dalam aktiviti pertanian. Tambahan pula, dengan kepelbagaian pengkawasanan, kawasan pinggir bandar mampu membangun mengikut perancangan yang ditetapkan tanpa menjejaskan kepentingan alam sekitar. Konsep “kawasan hijau” mampu diterapkan dalam pembangunan kawasan tersebut.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Pembangunan manusia atau insan ini menjadi tumpuan utama bagi memastikan kejayaan pembangunan masyarakat luar bandar. Pembangunan insan ini dapat mengatasi masalah sosial yang amat membimbangkan.  Masyarakat pinggir bandar yang cemerlang dari segi pengetahuan dan kemahiran dapat menjana ekonomi di kawasan mereka dengan penggunaan sumber yang maksimun dan mengurangkan kesan-kesan negatif seperti gejala sosial dan kekurangan kemudahan dan fasiliti di kawasan pinggir bandar.


Dengan pembangunan modal insan yang cemerlang di pinggir bandar ini juga, jurang antara bandar dan pinggir bandar dalam aspek ekonomi,pembangunan, infrastruktur, jurang digital dan sebagainya dapat dikurangkan. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang secara tidak langsung mampu membangunkan kawasan pinggir bandar. Apabila masyarakat sudah mampu mengendalikan kawasan mereka terhadap pelbagai aspek terutama ekonomi secara tidak langsung ia akan meningkatkan pendapatan mereka sekeluarga. Dengan ini mereka akan dapat mencapai apa yang mereka ingini serta masalah kemiskinan akan dapat diatasi.Mutu modal insan, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, adalah faktor kritikal bagi menarik pelaburan yang berkualiti.

Justeru dapat dilihat bahawa, pembangunan modal insan sangat penting dalam pembangunan kawasan pinggir bandar. Perkembangan ilmu pengetahuan dan kepakaran tersendiri yang ada dalam masyarakat merupakan bonus kepada masyarakat pinggir bandar untuk berdikari dan merancang kemajuan di kawasan mereka. Apabila terdapat golongan yang cerdik pandai, sumber alam yang terdapat di kawasan pinggir bandar dapat digunakan dan dapat dimanipulasikan oleh golongan tersebut untuk kepentingan masyarakat.

Perkembangan minda yang holistik dan berfikiran jauh selaras dengan peredaran zaman hasil dari pembangunan modal insan ini dapat membantu dalam pembangunan kawasan pinggir bandar dari segi perlaksanaan yang lebih sistematik, teratur, dan terancang. Selain itu, isu penganggur di kawasan pinggir bandar dapat dikurangkan. Hal ini disebabkan pemikiran masyarakat di pinggir bandar yang kreatif, inovatif, dan proaktif membantu mereka dalam mencari alternatif sendiri untuk menampung kehidupan seharian.